Ringkasan perbincangan bersama Malaysian Shellfish Society pada 17 April 2024.

Pada 17 April 2024 yang lalu, Persatuan Perikanan Malaysia (MFS) telah dikunjungi oleh wakil Persatuan Kerang-kerangan Malaysia (MSS). Perjumpaan ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kesidang, Institut Biosains. Wakil daripada MFS ialah Prof Madya Dr Mohammad Noor Amal Azmai selaku Presiden MFS dan Dr Norulhuda Mohamed Ramli selaku Setiausaha MFS. Wakil daripada pihak MSS ialah Prof. Dr. Muhammad Ikhwanuddin Bin Abdullah (Presiden MSS), Prof. Madya Dr. Nurul Ulfah Binti Karim (Setiausaha Agung 1), En. Suhairi Bin Mazelan (Setiausaha Agung 2), Dr. Mohd Ihwan Bin Zakariah (AJK MSS), dan Puan Norainy Binti Mohd Husin (AJK MSS).
Intipati perbincangan ini ialah untuk merancang bagaimana MFS dan MSS dapat bekerjasama dalam memainkan peranan yang berimpak tinggi kepada industri perikanan dan akuakultur Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, skop kedua-dua persatuan dijelaskan, iaitu MFS yang ditubuhkan lebih awal (13 Ogos 1987) menjadi saluran kepada ahli yang berkecimpung dalam semua bidang berkaitan perikanan dan akuakultur, manakala MSS ditubuhkan pada tahun 2023 untuk individu dan kumpulan yang fokus dalam aktiviti penangkapan dan penternakan kerang-kerangan di Malaysia.
Matlamat jangka masa pendek yang digariskan termasuk penglibatan kedua-dua persatuan dalam semua acara yang akan dianjurkan oleh kedua pihak contohnya acara perkongsian ilmu bersempena AGM MFS yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei 2024 akan datang. Manakala perancangan jangka masa panjang termasuklah program latihan berterusan kepada ahli dan penglibatan secara langsung dalam bidang penternakan dan perniagaan akuakultur yang boleh memberi pendapatan kepada MFS dan MSS.
Kelebihan dan kekurangan MFS dan MSS juga telah dikenalpasti. Ini membolehkan MFS dan MSS menjadi pelengkap antara satu sama lain bagi meneraju industri perikanan dan akuakultur negara. Diharapkan kerjasama ini memajukan kedua-dua persatuan.